minda rakyat
Menjana kemenangan BA dalam tahun 2004

SIRI 31 YTDT

Yang Terjerat Dan Terjerut

Walaupun dia baru sahaja menyambut ulang tahun hari jadinya, Diktator Mahathir masih berperangai  dajal lagi. Kali ini, dia bukan sahaja berbohong kepada rakyatnya tetapi juga telah menghina rakyat jelata. Rakyat yang mengharapkannya berubah perangai dan berlembut hati, semacam tidak percaya bahawa si diktator tua ini sanggup  mengekalkan perangai hati batunya.

Pada 22 Disember 2000, rakyat dikejutkan dengan berita  tertangkapnya beberapa pemimpin  Barisan Alternatif untuk dibawa ke Kulim dan dituduh di bawah Seksyen  147 Penal Code, kerana merusuh. Sebelum itu Setiausaha Pemuda Keadilan, Zamil Ibrahim dan  juga tiga orang  ahli PAS telah ditangkap   pada Khamis  21 Disember, atas tuduhan yang sama. Semalam, mereka (Tian Chua, Roslan Kassim, N Gopalakrishna dan mungkin ada satu dua nama lagi yang tidak disebutkan di sini ) telah dikenakan tuduhan itu   untuk dibicarakan pada April 2001.

Mahathir telah merakamkan ucapan   Hari Krismas dengan berkata:

"Sekiranya ada tanda-tanda atau cubaan   mana-mana pihak  untuk merosakkan keharmonian antara kaum kita dengan mempermainkan isu-isu sensitif  seperti agama dan kaum, kerajaan akan mengambil tindakan  tegas terhadap mereka  mengikut undang-undang  sedia ada.  Kerajaan memandang serius  terhadap  mana-mana pihak  yang cuba menggunakan  isu-isu sensitif  untuk kepentingan  kaum  atau untuk mendapat pengaruh."

Petikan sebahagian ucapan Mahathir ini memberikan jawapan kenapa Hajj Ruslan Kassim dan kawan-kawannya ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah Kulim. Penangkapan itu mesti mendahului rakaman ucapannya itu untuk memberi kekuatan kepada tajuk perutusannya.

Penangkapan dengan tuduhan merusuh dan disusuli oleh keputusan majistret Noorhisham Ismail menetapkan  tarikh perbicaraan pada 14 hingga 19 April, 2001 menunjukkan betapa hinanya rakyat Malaysia ini dibuat oleh Mahathir dan jentera gestaponya.  Alangkah hinanya rakyat dengan perbuatan  bertaraf bangsat ini. Minggu ini merupakan minggu terakhir sebelum seluruh dunia meraikan tiga hari lebaran. Ia bermula dengan Hari Krismas disusuli   Hari Raya dan diakhiri oleh Hari Tahun Baru. Mahathir tergamak  memerintahkan penangkapan itu dan menghadapkan mereka ke mahkamah.  Kemudian mereka yang ditangkap  ditahan dulu dalam lokap untuk dibawa ke Kulim dan diperintahkan  untuk dibicarakan  empat bulan lagi pada  tahun hadapan.

Dendam Seorang Diktator Tua

Tindak-tanduk Mahathir mengokestrakan kerja-kerja jijik pihak polis dan juga mahkamah menunjukkan betapa bangsatnya otak yang ada pada si tua itu dan segala penyokongnya terutama sekali ahli Majlis Tertinggi UMNO. Sekaligus, ucapan dan perutusan Mahathir pada hari Krismas itu tidak ada sebarang makna  kerana  tidak ada serinya lagi. Kalau Mahathir ada berotak sedikit tentu dia faham, bahawa keraian sesuatu hari lebaran itu bermula pada hari-hari yang menghampiri tarikh hari tersebut dan tidak semestinya pada hari yang telah ditetapkan. Nampak sangat Mahathir sudah terlampau kurang ajar kepada rakyat Malaysia. Nampak sangat dia terlalu biadap kepada generasi muda di negara ini.

Orang Lunas tentu akan  faham bahawa segala  tuduhan yang diarahkan kepada pemimpin  muda Barisan Alternatif adalah satu tuduhan palsu  untuk menutup segala kerja kotor Barisan Nasional dalam membawa pengundi hantu. Malahan ramai ahli UMNO yang berada di Lunas ketika pilihanraya kecil dulu merasa malu apabila melihatkan rombongan bas yang membawa pengundi hantu tersebut. Ramai di antara mereka yang tidak percaya dengan cerita  itu selama ini menjadi terkejut  melihatkan perkara itu berlaku di hadapan mata mereka sendiri. Kerana itu ramai yang  menghilangkan diri selepas sembahyang zohor di masjid pada hari itu. Mereka keluar daripada Lunas dengan perasaan malu yang amat sangat.  Tetapi kerana mahu menutup malu mereka hanya menuduh  salah strategi  berkempen dan  salah meletakkan calon sebagai  alasan kekalahan di situ.  Yang lebih berani bersuara, menuduh   kekalahan itu disebabkan  penggunaan gambar seorang  diktator tua yang lebih banyak  di kawasan kempen itu daripada gambar calon yang bertanding sebenarnya.

Semua alasan kekalahan  sudah diketahui oleh Mahathir dan semua ini tidak diterimanya termasuklah kegagalannya menepati janji untuk turun padang berjumpa para pengundi. Namun, Mahathir masih tidak serik lagi. Dia tidak mampu menerima hakikatnya bahawa dalam pilihanraya mesti ada calon  yang menang dan mesti ada calon  yang tumbang. Dia membalas dendam mempertahankan kekalahan itu dengan berucap ke seluruh negara sempena rakyat meraikan Cuti Krismas.  Untuk memperkuatkan INTI PATI UCAPANNYA itu dia mahukan Ruslan Kassim dan sahabatnya ditangkap dan didera untuk dibicarakan atas kesalahan yang tidak ada.

Alangkah  lucunya perkara ini? Orang yang membuat laporan kepada polis mengenai pengundi hantu  ditangkap dan dituduh merusuh. Orang yang mengingkari Akta Pilihanraya tidak ditangkap  untuk dituduh. Orang yang merancang kemunculan semua pengundi hantu langsung tidak disentuh. Siapakah yang mahu ditipu oleh Mahathir lagi? Apakah esok lusa tidak ada wakil rakyat yang akan mati dan mencetuskan  pilihanraya kecil terkini?

Penangkapan pemimpin Barisan Alternatif adalah satu penghinaan terhadap rakyat Malaysia yang cintakan negaranya. Sepatutnya hari-hari menjelang upacara keagamaan seperti Krismas dan Aidil fitri didahului oleh pengumuman kerajaan akan nama-nama banduan yang dibebaskan atas dasar pengampunan raja-raja di setiap negeri.  Sekaligus ini memberikan semangat kesetiaan rakyat terhadap negaranya. Bukan semua orang yang dihukum penjara itu benar-benar   berdosa kerana hukuman itu. Ada yang terpenjara kerana keadaan seperti panas-baran ataupun kehilangan pertimbangan ketika terjadinya sesuatu kesalahan.

Lagipun  masih ramai pencuri mega yang besar pangkat dan rumahnya yang masih  bebas di negara ini.  Masih ramai pembunuh yang bebas; tidak ditangkap kerana terlibat dengan  pengedaran dadah dan lesen terbang. Begitu juga dengan pemimpin politik yang rasuahnya besar-besar dan terus hidup senang-lenang mengurut temboloknya. Inilah orang  yang sepatutnya berada  dalam penjara dan bukannya rakyat marhaen yang dhaif yang menjadi mangsa keadaan semata-mata. Rakyat marhaen yang tergolong seperti ini patut diberikan keampunan setiap tahun dan dibebaskan  selepas bertaubat agar dapat menyambung kembali hidup merempat seperti sedia kala. Adalah menyedihkan apabila kita membincangkan perkara ini dan memikirkan betapa seorang diktator tua tidak pernah memikirkan nasib rakyatnya walaupun mereka berada di dalam penjara.

Apa boleh buat, sudah nasib kita berperdana-menterikan seorang bangsaat…!!! Langsung tidak ada ciri-ciri kemanusiaan dalam jiwanya untuk memikirkan  rakyat marhaen  dan keadaan  hidup mereka, terutama sekali menjelang hari lebaran.

Pemulihan MAS Untuk Siapa

Kita  diminta menulis sedikit   mengenai pembelian saham MAS  oleh kerajaan. Ramai pemimpin negara berkata bahawa pembelian saham Tajuddin Ramli bukannya satu 'bailout'. Pada  23.12.00,  pelbagai  rakaman yang dibuat mengenai pendapat Daim Zainuddin, Mustapha Yakob dan juga beberapa pemimpin politik BN mengenai  pembelian itu. Semua   setuju   bahawa pembelian saham dengan kadar RM8 adalah kena pada harganya kerana harga saham MAS sebenar mesti lebih daripada RM3.60 seperti yang diniagakan  sebelum pasaran ditutup.

Saya akan tulis perkara ini secara ringkas sahaja dan tidak akan mengungkitnya lagi  di masa hadapan:

  • Jual-beli saham mengikut harga yang dipersetujui oleh penjual dan pembeli memang dibenarkan, di mana juga. Tetapi ada juga  urusan seperti itu yang boleh dipertikaikan kalau difikirkan menggugat keselamatan negara;

  • Kerajaan membeli dengan harga RM8 sedangkan ia boleh membelinya di pasaran terbuka kurang daripada setengah kadar itu. Inilah satu   penyelewengan kerana wang yang digunakan adalah wang rakyat.  Kalau kerajaan menawarkan harga itu kepada Tajuddin Ramli kerajaan harus juga menawarkannya kepada rakyat jelata yang mahu menjual pegangan mereka;

  • Tajuddin ada berkata "biarlah Allah menilainya. Itulah penilaian sebaiknya."  Itu cakap seorang yang angkuh tetapi cuba bersalutkan sesuatu yang meruntun perasaan. Kita tahu bahawa MAS menanggung banyak kerugian kerana banyak sangat campur tangan kerajaan.  Malahan MAS kerap digunakan laksana lembu pawah oleh Mahathir. Kita mahu rakamkan pendapat orang-orang yang berkaitan dengan industri pengangkutan udara di negara ini terutama sekali  mereka yang berkhidmat dengan MAS. Saya terjemahkan laporan yang dibuat oleh M. Krishnamoorthy dalam 'The Star' muka surat 3 bertarikh 23.12.00:

    "Kumpulan Pekerja MAS Mengalukan Pembelian-balik Kerajaan"
            (MAS Employee Groups Welcome Buyback by Govt.)

    "Empat kumpulan pekerja Malaysia Airlines yang mewakili semua   tenaga pekerja telah  mengalukan keputusan kerajaan  membeli-balik 29.09%  saham Tan Sri Tajuddin  dan melantik seorang ketua eksekutif (CEO) yang baru.

    MASEAU (The Malaysia Airlines System Employees Union) yang mempunyai keahlian terbesar seramai lebih 8,000 ahli, MASMA (Malaysia Airlines System Managers Association), MESA (Malaysia Airlines Executive Staff Association), dan MAPA (Malaysian Airlines Pilot Association) berpendapat bahawa  kerajaan telah bertindak bijak.

    Presiden MASEU, Alias Aziz menyarankan  kerajaan memilih  orang yang  berpengalaman  dalam industri pengangkutan udara untuk memulihkan kerugian yang ditanggung sejak empat tahun yang lalu. "Ketua yang baru itu mestilah mampu berganding bahu dengan kakitangan dan juga union."

    Setiausaha agung MASAEU, Malik Arif berkata; Tajuddin Ramli  tidak berjaya mewujudkan satu suasana kerja yang selesa dan mudah disenangi oleh semua kumpulan pekerja. "CEO yang baru mesti  memahami semangat pekerja dan moral yang  sentiasa dapat menjamin  kejayaan syarikat dan bukannya seperti  yang  berlaku sejak beberapa tahun yang lampau."

    Presiden MASMA, Shulhameed Marican pula berkata; "CEO yang baru nanti  hendaklah    dipilih  antara  kakitangan yang ada. Orang seperti ini mampu memahami betapa kompleksnya industri penerbangan itu. Lagipun seorang CEO itu mestilah seorang yang mesra dan mempunyai pengetahuan yang luas  berkaitan industri penerbangan."

    Presiden MESA, Mohamad Hussain Marican pula berkata sesiapa  yang dipilih  oleh kerajaan untuk memimpin MAS hendaklah berupaya membawa MAS kembali kepada  jurusan perniagaan asal;  memberikan khidmat  pengangkutan udara yang selamat dan  efisien. Seterusnya beliau berkata;  "di beberapa tahun kebelakangan, kepelbagaian  yang agresif dan perkembangan yang tidak terkawal dengan baik telah melempahkan sumber MAS yang ada. MAS sepatutnya tidak melakukan bisnes yang berkaitan dengan perniagaan pihak ketiga dengan mempertaruhkan kewibawaan pengangkutan udara negara.

    Presiden MAPA, Kapten Datuk Mohd Johan Mohd  Yusuf mengalu-alukan  tindakan kerajaan untuk kebaikan negara dan rakyatnya. Dia memberi jaminan bahawa 1,000  pilot  udara akan memberikan kerjasama kepada CEO yang baru itu. "MAS mempunyai  kakitangan yang taat setia dan mampu menerima arahan yang dilakar oleh Kerajaan."

Lihatlah….semua ketua union pekerja itu adalah manusia profesional yang mewakili ahli  persatuan sekerja mereka. Itulah  cakap orang yang ada otak dan berfikir untuk kebaikan negara dan bangsanya. Mereka cakap berlapik dan berhemah. Di sebalik semua itu mereka tahu bahawa Tajuddin memang jarang sangat memberikan tumpuan kepada perjalanan MAS. Seperti juga yang berlaku kepada Celcom, sebuah syarikat telefon bimbit terbesar di negara ini, pada satu ketika dulu. Syarikat itu pun merudum sebaik sahaja Rosli Man keluar daripada situ.

Sayang, Tajuddin terlalu terikut-ikutkan  kegilaan Mahathir dan kerakusan Daim Zainuddin. Seorang anak Melayu yang pintar dan berhemah tinggi, akhirnya hancur apabila masuk satu kandang yang dipenuhi manusia berhati syaitan.

Muslihat Putar Alam

Sekali pandang  pembelian saham-saham MAS itu nampak macam satu urusan niaga yang biasa, di mana ada tipu helahnya. Tetapi, dalam bidang 'Financial Engineering' terlalu banyak muslihat yang tersorok kerana sengaja:

  • Kerajaan terpaksa membeli saham pegangan Tajuddin dengan harga  RM8 ataupun  membeli di pasaran,  sekitar  RM3.60. Kalau kita baca penjelasan MGG Pillai (Sila baca: Bila Kroni Jual Pegangannya) dalam kisah pembelian awal saham MAS oleh MHS satu ketika dulu, Tajuddin telah  membuat satu tawaran secara 'swapping' satu saham MHS untuk dua saham MAS. Kerana itu dilakukan satu   pacuan dan henyakan di mana saham MHS naik hingga menjadi RM14 dan  saham MAS merudum menjadi RM7. Berlakulah  satu imbangan yang mudah dikira. Kemudian saham MHS diperbesarkan lagi dengan keluaran MHS-W. Inipun bertujuan untuk mendapatkan bantuan pembeli saham MHS membantu membayar hutang yang bertapuk. Usaha itu tidak  juga membantu  masalah kewangan Tajuddin, oleh sebab pelbagai masalah  yang hanya diketahui oleh Tajuddin sendiri. Mungkin apabila Mahathir sudah mati dan Daim sudah lama pergi, Tajuddin akan menulis satu 'memoir' menceritakan kisah yang sebenarnya. Dia pasti melakukannya untuk menutup malu si anak-cucu.

  • Kerajaan terpaksa membeli pegangan Tajuddin dengan harga RM8 untuk menyelamatkan maruah semua institusi kerajaan yang masih menyimpan saham MAS itu, sebelum harga saham terus dihenyak ke  bawah. Satu ketika dulu saham MAS mempunyai harga yang baik dan dianggap sebagai satu pegangan yang disokong oleh  institusi kerajaan. Sebagai contohnya pada tahun 1998 harga tertinggi saham MAS ialah 4.78 sen (harga terendah sekitar 1.80). Sejak itu harga terus merudum  kerana masyarakat pelabur tahu   hutang yang ditanggung  oleh Tajuddin.

  • Tindakan kerajaan membeli saham Tajuddin dengan harga begitu tinggi adalah usaha untuk mewujudkan satu 'benchmark value' yakni nilai  ukuran sebagai bahan rujukan kalau ada perbincangan di antara kerajaan dengan pembeli asing. Nilai saham tidak semestinya  berasaskan nilai sebenar. Ada unsur 'goodwill' dan nilai intrinsik yang lain yang mahu diambil kira. Inilah  tujuan kerajaan memberikan harga demikian. Lagipun, RM 8 apabila ditukarkan kepada US Dollar mempunyai nilai yang amat kecil jika dibandingkan dengan nilai saham  di luar negara.  Tetapi di sinilah  bermulanya satu masalah lain pula. Tindakan kerajaan membeli dengan harga yang tinggi sedangkan harga di pasaran terbuka masih jauh ke bawah, ia tidak menghalang sesiapa (termasuk Tajuddin sendiri) membeli saham itu sekitar  RM3.70 secara berdikit dan melalui proksi. Pembelian boleh dilakukan oleh orang tempatan bagi dirinya ataupun bagi pembeli luar negara secara proksi. Jika ini berlaku kerajaan akan berada dalam satu posisi yang lemah kerana akan dimanipulasi oleh orang  yang berduit.  Di waktu yang sama kerajaan akan terus berada di satu posisi yang tertekan.

  • Apa juga alasan yang dikemukakan oleh kerajaan (seperti yang disiarkan dalam wawancara Utusan dengan Mustapha Yakob) pemegang saham MAS  di kalangan pelabur runcit akan merasa marah dan mungkin melepaskan pegangan mereka secara kumpulan hingga membuatkan nilai saham itu terus jatuh dan mencetuskan 'contagion effect' ke atas saham syarikat lain yang mempunyai masalah hutang yang serupa.

  • Kita ingin mengetahui bagaimanakah kerajaan membeli saham pegangan Tajudin itu? Adakah dibayar secara tunai ataupun secara  pemberian 'promissory notes'. Kalau dibayar dengan tunai, bererti Tajuddin mendapat durian runtuh sempena cuti Krismas. Tetapi kalau pembayaran dibuat dengan 'promissory notes', nilai sebenarnya perlu dirundingkan oleh Tajuddin dengan pihak bank. Bank mungkin mahukan premium tertentu  dalam menerima  pembayaran berbentuk kertas cagaran itu. Tajuddin kini boleh membeli segala saham MAS di pasaran terbuka secara proksi. Adakah sebarang perjanjian menegah Tajuddin melakukannya?

  • Kita menjangkakan  kaedah membantu Tajuddin itu adalah satu usaha kerajaan untuk mengambil-alih semua syarikat besar yang bermasalah.   Semuanya adalah syarikat kroni dan suku-sakat Mahathir ataupun Daim. Semua 'bailout' akan dibuat begitu licik sekali agar kroni yang   bermasalah itu tidak mengalami kerugian, malahan menguntungkannya. Kita boleh jangkakan Mahathir   mempelopori kerja  seperti   sebelum berakhirnya    bulan Januari 2001.

  • Seperti yang pernah saya tulis dulu, pasaran saham akan terus menjunam mengikut  rentak pasaran   di New York. Trend pasaran   New York  setiap lima tahun memang begitu terutama sekali selepas diumumkan keputusan pilihanraya presiden. Keadaan ini akan lebih mengancam kerana  perlantikan George Bush sudah dianggap sebagai perlantikan 'accidental president'. Sepatutnya kelemahan di New York boleh memberi kekuatan di pasaran saham BSKL. Tetapi disebabkan teknik membalun harta rakyat secara terang-terangan akan berterusan, kita boleh jangkakan pasaran BSKL akan terus jatuh untuk  beberapa ketika sehingga satu masa ia mampu meyakinkan pelabur runcit untuk masuk pasaran semula.

Inflasi Datang Menjelma

Kelembapan BSKL dijangka berterusan sebagai protes kaum Cina secara terang-terangan terhadap Mahathir bin Mohammad.  Ia tidak ada kena mengena dengan keadaan isu Suqui ataupun Sekolah Wawasan ataupun JE. Kelembapan in adalah lebih cenderung disebabkan banyak faktor lain:

  • Keadaan  Pemikiran Mahathir dan Sikap Kepimpinannya

    Mahathir sudah dianggap sebagai insan yang tidak relevan  kerana   tidak lagi berjiwa rakyat. Ini terbayang apabila dia mengizinkan penangkapan Tian Chua pada pukul 2.45 pagi, di pejabat beliau dan menuduhnya  merancang rusuhan. Masyarakat tahu apa yang sebenarnya. Tuduhan kepada Tian Chua dan   beberapa pemimpin BA yang lain menunjukkan bahawa Mahathir sudah gila. Inilah yang menakutkan pelabur di pasaran saham. Apa gunanya melabur sekarang kalau esok dan lusa harga saham itu  boleh jatuh dua kali ganda?

  • Setiap kali Mahathir  bercerita mengenai huru-hara dia sebenarnya membawa mesej yang negatif mengenai Malaysia. Siapakah yang mahu melabur kalau negara akan huru-hara? Kalau Mahathir fikir dia mampu menyekat huru-hara yang dibayangkannya itu dengan menangkap pemimpin rakyat seperti yang berlaku pada "Ops Lalang", dia akan membuat satu kesilapan besar lagi. Rakyat sudah pun faham bahawa orang yang sepatutnya ditangkap ialah Mahathir bin Mohammad dan diikuti oleh semua penyangak yang menyokongnya secara tipu muslihat. Ini termasuk Rais Yatim, Senator Zam Mamak  Maidin, Dolah Komunis, Yahaya Ismail dan beberapa lagi penulis  yang memutar-belitkan fakta di akhbar kepunyaan kerajaan. Begitu juga dengan pegawai polis yang durjana  serta peguam dan hakim yang sanggup melakukan kerja hina. Kisah negara akan huru-hara sudah lama dicetuskan oleh Mahathir  sejak dua tahun yang lalu. Dialah yang mengumumkan penggunaan bom molotov dan paling terbaru dialah yang merancang agar rakyat percaya  betapa pihak pembangkang akan melancarkan 'intifadhah'. Bagaimana pula dengan kisah Al-Ma'unah? Bagaimana pula dengan kisah pengeboman kuil dan kilang arak? Adakah sesiapa terjumpa gambar barang bukti serpihan bom yang meledak di kuil dan kilang itu? Bagaimana dengan hasutan bahawa Suqui adalah sealiran dengan Al Ma'unah dan penderhaka. Bagaimana dengan tuduhannya bahawa orang Cina tidak tahu mengenang budinya kerana menyelamatkan ekonomi negara?

  • Kisah memburukkan negara sudah mencetuskan satu fenomena yang amat ditakuti oleh rakyat marhaen. Ia adalah mengenai kenaikan harga barang dan kos perkhidmatan.  Walaupun kerajaan berusaha untuk   menyekat kenaikan kos makanan dan perkhidmatan, usaha itu tidak akan berjaya. Dunia perniagaan negara  dipegang oleh orang Cina dan orang mendatang. Mereka akan terus menaikkan harga sebagai satu insuran terhadap risiko akan berlakunya huru-hara. Mahathir dan menteri kabinetnya tidak berupaya menyekat kenaikan harga barangan disebabkan   nilai ringgit yang semakin merudum walaupun   tukaran matawang ditetapkan harganya. Dalam teori kewangan, apabila sesebuah negara itu membekukan kadar tukaran matawang negara untuk  tempoh yang lama, akan berlaku aktiviti  pasaran gelap di mana kadar pertukarannya akan melemahkan lagi kuasa  tukaran bebasnya.  Kalau teori matawang itu dikaji lebih mendalam lagi, kesan pembekuan lama itu akan mencetuskan inflasi di luar jangkaan strategi negara itu sendiri.

  • Semua  syarikat asing yang besar-besar  sedar akan munculnya fenomena itu. Apabila mereka kaitkan fenomena itu dengan gelagat dan kelakuan Mahathir, sudah wujud satu suasana panik apakah yang akan jadi kalau Mahathir kehilangan kuasa? Di kalangan syarikat besar-besar kepunyaan kroni yang memang tidak pintar mengemudikan syarikat mereka, bebanan hutang bertapuk menyebabkan mereka cuba merayu dan menangis agar Mahathir terus membantu. Itu yang berlaku kepada Tan Sri Tauke Batang Penyapu. Dia merupakan pakar   Langkawi dan juga pakar pembina Empangan Terbesar di Malaysia. Semua itu tidak menjadi, termasuk projek pengangkutan aliran ringan di ibukota. Kini dia diberikan pula projek membina pengkalan kapal selam di Sepanggar sebagai usaha terus menyokong hingga membawa rebahnya.

  • Usaha Mahathir menyokong para kroni sebenarnya menggugat kestabilan sistem perbankan. Setiap kali bank membantu para kroni itu, bank mengeluarkan wang tunai. Tetapi bentuk pembayaran balik daripada mereka tidak semestinya berbentuk wang tunai. Ini bererti bank pun mengalami masalah kecairan (liquidity) yang mendesak bank untuk mengetatkan dasar pinjamannya kepada orang kecil-kecilan.  Pihak bank tidak mudah menuntut hutang daripada para kroni kerana masalah protokol. Itu sebabnya Bank Bumiputera boleh muflis sebanyak empat kali, sehinggakan sebuah bank kecil yang berhutang besar kepadanya mampu membeli bank itu apabila digabungkan. Ironisnya segala jerung yang meminjam daripada Bank Bumiputera dulu tidak pernah didakwa di mahkamah dan dijatuhkan hukuman muflis.

  • Inflasi sedang menghenyak Malaysia. Kerana itu perkataan 'inflasi' diharamkan di media perdana. Rencana mengenai inflasi tidak pun dibenarkan. Tetapi, sampai bila Mahathir mahu menipu rakyatnya? Dia cuba melakukan beberapa perubahan kecil untuk menyerap serangan inflasi yang datang menggila. Tetapi, orangnya juga yang memacu inflasi itu kerana kerakusan.  Bagaimanakah kilang padi boleh menyimpan stokpail beras? Inilah yang menjejaskan harga beras tempatan dan menghenyak   petani yang kebanyakannya orang Melayu. Apabila harga padi turun, kuasa membeli daripada hasil padi itu pun menjadi kurang? Para penanam padi merasa kehidupan yang tertekan disebabkan serangan inflasi. Setiap kali mereka menerima pendapatan baru sebahagian besar digunakan untuk menutup hutang lama. Kesan inflasi membuatkan mereka menjadi mangsa yang tersiksa hidupnya untuk satu tempoh yang panjang. Begitu juga dengan peneroka tanah pertanian. Harga komoditi yang menurun terus menghimpit kehidupan sehingga ramai anak peneroka terpaksa membantutkan pelajaran mereka di IPTA dan IPTS disebabkan perlu bekerja membantu ibubapa yang memerlukan bantuan.

  • Untuk membantu para kroni yang mencungap, Mahathir dan kumpulan bajingannya terpaksa merencana agenda besar untuk melencongkan perhatian rakyat. Dia tidak dapat terus menyelamatkan para kroni kalau rakyat asyik diasak oleh inflasi. Perlu ada beberapa projek besar  melekakan rakyat. Maka dicetuskan kisah huru-hara dan alat yang paling baik untuk meyakinkan rakyat mengenai huru-hara ini ialah isu hak keistimewaan Melayu. Secara tidak langsung memo kumpulan Suqui merupakan pucuk dicita ulam yang mendatang. Tetapi, masalah Suqui tidak boleh diamanahkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO lagi kerana mereka berkait rapat dengan alam perniagaan yang membabitkan peniaga Cina sebagai proksi.  Alat yang paling baik ialah GPMS dan seorang ketuanya yang biul dan bingung. GPMS dikatakan mempunyai keahlian 100,000 orang. Fuuh…..ramainya.  Tetapi, macam mana pula para pelajar dibabitkan dengan politik?  Kalau sudah ada 100,000 ahli kenapa mahu ditubuhkan pula Gabungan Suara Melayu dan dilancarkan pula kempen penubuhan itu di seluruh negara?

  • Di tahap awalan, Suhaimi memberi kata dua kepada Suqui agar minta maaf kepada orang Melayu dan tarik balik tuntutan mereka. Tetapi tuntutan Suqui telah diterima secara prinsipnya oleh Mahathir sebelum pemilu 1999 dulu. Kenapa disuruh tarik balik kalau  Mahathir sudah terima secara prinsipnya? Sebahagian besar tuntutan Suqui itu memang dituntut oleh rakyat negara ini terutama sekali orang Melayu, tidak mesti orang Cina sahaja. Pada asasnya itulah sebahagian tuntutan yang dikemukakan oleh Ezam kepada Yang Di Pertuan Agong hingga membabitkan pancutan air asid ke atas orang yang tidak berdosa. Kisah menyentuh hak keistimewaan orang Melayu itu memang boleh dibincangkan kerana kita pun mahu tahu sampai bila keistimewaan itu akan berlanjutan. DEB (Dasar Ekonomi Bumiputera dan Melayu) adalah satu bentuk keistimewaan yang dilanjutkan tempoh pupusnya. Ia tidak berjaya memberi nikmat kepada rakyat marhaen. Selama ini ia diberikan khusus kepada  anak-anak dan para kroni dan golongan Super Bumiputera seperti Vincent Tan, Ting, YTL, Ananda, Arumugam, Yeo dan Yeh dan kumpulan bukan Melayu yang saya kategorikan sebagai KEJAM (Kelab Elit Jin Alam Mahathir)

  • Kini, Pemuda UMNO mahu berdialog dengan Suqui. Tetapi ramai yang tidak suka perkara itu berlaku terutama sekali orang Utusan Melayu dan Dolah Komunis. Apa salahnya mereka berdialog kalau kita sentiasa berdebat di parlimen selama ini tanpa bertumbuk, apakah berdialog itu akan merosakkan nama Melayu? Kita tahu apabila Suqui dan Pemuda UMNO berdialog ia akan membuka pekong orang UMNO dan BN. Begitu juga dengan kisah debat Mahfuz Omar dan Hisyamuddin Hussein. Dolah Komunis dan Utusan Melayu pun tidak suka juga. Kenapa? Apa muslihatnya?  Apa juga majlis dialog ataupun debat yang akan diadakan  bererti segala pekong UMNO dan BN sejak 20 tahun yang lalu akan terbongkar. Suqui seperti juga beberapa penulis di laman internet mempunyai banyak bukti penyelewengan Mahathir dan para kroninya. Senarai orang UMNO yang berhutang di Bank Bumiputera dan tidak membayarnya sudah cukup dijadikan satu isu untuk satu bulan lamanya. Bagaimana pula kisah Dollah Komunis yang didakwa ketika menjadi pengerusi sebuah institusi perumahan kerajaan dan dituduh pecah amanah ? Beliau dibebaskan kerana siapa? Kemudian beliau diberikan status duta di Amerika oleh siapa dan kerana apa? Kisah ini pun kalau dibentangkan oleh Suqui boleh membuat seseorang itu jatuh malu. Itu pun kalau dia tahu malu.

Bagaimana pula cerita purba ketika mendiang Tun Razak diugut dengan gambar menunjukkan dia diurut oleh seorang Tengku Puteri, sedangkan gambar itu adalah bikinan manusia seperti yang dilakukan kepada Tengku Leigh dan S. Anthonysamy? Apakah Dolah Komunis tidak ingat cerita itu sedangkan beliau merupakan manusia yang paling rapat dengan Tun sehingga mampu menegah Tun berjumpa Lee Kuan Yew di saat Singapura hampir berpecah daripada Malaysia? Bagaimana pula kisah seorang setiausaha politik yang memberi isyarat kepada seorang doktor radikal Melayu yang tersingkir daripada UMNO  dan sedang diburu oleh polis untuk ditangkap di bawah ISA? Doktor itu sempat melarikan dirinya untuk bersembunyi  seketika. Cerita macam itu boleh disalurkan kepada Mahfuz oleh perisik tentera dan polis yang mempunyai segala maklumat bertulis lengkap dengan gambarnya. Mampukah Hisyamuddin Hussein dan Pemuda UMNO menangkis segala hujah yang berfakta seperti itu?

Kini, Suhaimi sudah menggunakan seorang professor universiti untuk membantunya mendesak Suqui meminta maaf kepada Yang Di Pertuan Agong dan Sultan. Kenapa didesak perkara itu dan sejak bila pula Suhaimi menjadi pemegang mohor raja-raja Melayu? Tidak cukupkah dengan ultimatum satu bulan   diberikan kepada Suqui sebelum GPMS  keluar dengan tiga juta orang Melayu untuk  mengistiharkan 100 tuntutan kepada Mahathir?

Mahathir dan semua para juaknya sedang tersepit dan menggelupur kepanasan  tidak tentu hala. Tidak cukup dengan Suhaimi dan Ibrahim Ali (pakar kencing atas batu nisan) kini, hampir semua professor Melayu di universiti dipanggil untuk diwawancara  mengenai Suqui. Seperti yang dilakukan oleh Rais Yatim, semuanya berhujah menyindir orang Cina dan Suqui sebagai kumpulan yang tidak bersyukur kepada Mahathir dan orang Melayu. Saya tidak mahu menyebut nama professor yang membodek UMNO itu. Cuma saya ingin ajak mereka berfikir sejenak. Janganlah anggap Suqui  cuba mengada-ngada dengan tuntutan 'universal'.  Jangan salah-ertikan perkataan universal kerana agama Islam pun agama universal juga.  Jangan mudah ketepikan isu  Suqui ini  sebagai isu orang Cina    membawa sentimen perkauman. Apa yang dituntut oleh Suqui pernah dikemukakan oleh orang Melayu kepada raja-rajanya secara bertulis dan secara berkias.  Tidak ada satu perkara pun yang tidak boleh dibincangkan secara muhibbah dalam dunia ini. Kalau Mahathir boleh bincangkan hal agama sambil berfantasi  dan mahukan Al Quran diterjemahkan semula, apa sangatlah tuntutan Suqui itu? Bukannya mereka membuat tuntutan dengan senjata di tangan.

Masa depan anak cucu kita sedang dipertarungkan oleh Mahathir  dan UMNO semata-mata kerana mahu kekalkan kuasa mereka. Anda sebagai cerdik pandai harus berkata benar dan jangan turut memutarkan fakta,  semata-mata kerana mengidamkan  pangkat dan gelaran.  Anda harus memikirkan masa depan generasi kita dan jangan cuba meraih populariti atas hujah basi agar   dianggap sebagai kroni.

Bahaya yang besar menanti kalau rakyat diperbodohkan mengenai isu hak mereka.  Orang yang miskin apabila tersepit tidak lagi memikirkan agama dan perkaumannya. Apabila perut sentiasa lapar, perlembagaan negara tidak membawa sebarang makna. Rakyat marhaen yang didesak bertubi-tubi ke dinding kehinaan akan bangkit sebagai  satu  kumpulan menuntut   hak mereka. Apabila rakyat marhaen bangkit  secara menggila, mereka tidak mampu  membezakan mana satu rumah kaca, mana satu menara gading dan mana satu mahligai air mata. Bukankah itu yang berlaku di Jakarta dan gambarnya diulang-ulang di kaca TV setiap kali ada pilihanraya? Bukankah itu bertujuan menakut-nakutkan orang bukan Melayu agar terus menyokong BN? Semua cerdik pandai  dan ulama di negara ini sepatutnya bersatu menyedarkan Mahathir apa ertinya kekejaman dan apa dosanya membalun harta rakyat untuk projek mega yang tidak berguna. Malangnya terlalu ramai yang diiktiraf sebagai cerdik pandai sanggup berbohong dan bersekongkol dengan Mahathir semata-mata mengimpikan gelaran 'datuk' yang tidak boleh pun dijadikan pasport masuk ke syurga.

Ekonomi negara semakin gawat. Inflasi sedang menghenyak kehidupan rakyat marhaen. Majoriti  rakyat marhaen di ibukota adalah penghuni kawasan setinggan. Anak-anak mereka tidak menerima pendidikan yang tinggi kerana tidak termampu, akhirnya merempat menjadi bajingan kota raya ataupun calon rumah urut dan pelacuran, bohsia dan bohjan. Graf rompakan dan kecurian menyebabkan penghuni bandar terpenjara di rumah sendiri, hidup ketakutan dalam rumah berjeriji besi. Mereka terus hidup ketakutan kerana ugutan Mahathir mengenai huru-hara dan keganasan.

UMNO dan Mahathir sedang bersandiwara. Mahathir menggunakan segala institusi yang ada untuk mengadu-dombakan rakyat kerana dia tamakkan  kuasa. Orang Suqui tidak perlu meminta maaf kepada  YDPA ataupun raja-raja, ataupun orang Melayu. Yang mesti menuntut maaf ialah Mahathir bin Mohammad - kepada raja-raja, alim ulama, rakyat marhaen dan orang Melayu. Mahathir harus memohon maaf kepada rakyat marhaen yang cuba dijeratnya selama ini walaupun dia sudah sampai satu tahap di mana dia  telah menjerut  anak-anaknya, suku-sakatnya, para kroni dan juga dirinya sendiri.

-marhaintua-
25.12.00.

 

HEBATKAN PERJUANGAN REFORMASI DI SIBER DAN IT

Sampaikan informasi dan maklumat kepada mindarakyat@hotmail.com
OX Free Counter
OX Free Counter